Sunday, November 6, 2016

Kurang Bekalan Di Kelantan - Penguatkuasa KPDNKK Perlu Pantau Nelayan Asing


Bot nelayan asing disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan pelbagai barangan bersubsidi termasuk minyak masak



PASIR PUTEH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta memantau pergerakan lebih 100 bot nelayan asing di Pelabuhan Tok Bali yang disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan pelbagai barangan bersubsidi termasuk minyak masak.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman, berkata bot nelayan asing terutama dari Vietnam dan Thailand yang berulang-alik dari pelabuhan Tok Bali ke negara masing-masing, dikhuatiri turut membawa keluar barangan berkenaan.

“Ini menjadi tradisi sejak berpuluh tahun lalu tetapi tiada pemantauan ketat oleh mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita di Kompleks UMNO Uthmaniyah Kampung Pulau Lima di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekurangan minyak masak di Kelantan sejak beberapa minggu lalu.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, berkata nelayan asing yang beroperasi menggunakan lesen bot laut dalam milik rakyat tempatan, berkemungkinan menyeludup bahan itu dengan alasan bagi keperluan harian mereka ketika berada di laut.

“Kita bimbang mereka mengambil kesempatan untuk mendapatkan bekalan itu berlebihan dengan tujuan membawa pulang dan menjualnya di negara masing-masing,” katanya.-BH.

No comments:

Post a Comment