Difahamkan, penjualan mi­nyak masak yang disyaki bersub­sidi itu telah berlaku sejak sekian lama disebabkan mendapat permintaan tinggi daripada ma­sya­rakat Islam di selatan negara jiran berkenaan.

Antara sebabnya golongan ter­sebut yakin dengan status halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta kualiti produk tersebut berban­ding produk sama berasal dari negara itu.

Hasil tinjauan Mingguan Malaysia di pekan kecil yang terletak bersempadan dengan Wang Prachan, Thailand itu mendapati kira-kira 10 buah kedai bebas menjual minyak masak buatan negara ini.

Terdapat pelbagai jenama mi­nyak masak botol seberat tiga dan lima kilogram dijual pada harga antara RM8 hingga RM20, selain jenis peket tanpa label ‘untuk dieksport’ pada harga RM2 hingga RM2.80.

Ini bermakna kesemua produk itu yang dipamerkan di hadapan kedai, lebih mahal antara RM4 hingga RM7 setiap satu berban­ding harga di pasaran negara ini.

Golongan peniaga bagaimanapun bijak apabila tidak meletakkan minyak masak berkenaan dalam kuantiti yang banyak, sebaliknya hanya tiga hingga lima botol atau sekotak minyak masak peket agar tidak menimbulkan curiga pihak berkuasa.

Kredit Utusan Malaysia