Wednesday, June 13, 2012
Negeri - Negeri Pemerintahan Pembangkang Umum BUBAR DUN
ADA pandangan mengatakan bahawa Perdana Menteri Najib Tun Razak sedang bermain teka teki tentang tarikh pembubaran parlimen yang membuka jalan kepada proses pilihanraya umum yang akan datang.
Sedangkan yang memberi pandangan terlupa, Pakatan Rakyat juga sedang memerintah 4 negeri dan dari jumlah itu, 2 negeri sudah mengumumkan pendirian masing-masing secara terbuka untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri dengan tarikh pembubaran parlimen.
Malangnya, dua negeri ini (Selangor dan Pulau Pinang), tidak pula menyatakan dengan jelas, bila DUN akan dibubarkan, walaupun dalam masa yang sama, soal mendesak Najib mengumumkan tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat sedang hebat diperkatakan dikalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.
Penulis boleh faham kenapa desakan dibuat, penulis juga boleh faham kenapa tarikh itu dibiarkan terapung di awangan untuk semua orang meneka. Tapi penulis juga mahu semua orang tahu, ada soal intergriti dan kredebiliti yang sedang menjadi taruhan sekarang. Soal ini penting kerana hanya inilah saja yang membezakan kita dengan BN.
Justeru, penulis dengan ini mendesak kepimpinan negeri Pulau Pinang dan Selangor, mengumumkan dengan segera tarikh sebenar DUN di negeri masing-masing akan dibubarkan supaya satu pilihanraya negeri dapat diadakan.
Selepas itu, penulis rasa baru layak kita mendesak Najib mengumumkan tarikh sebenar pembubaran Parlimen dan penulis yakin rakyat dibawah akan lebih selesa dengan pendekatan sebegini dan menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat.
Disitu saja kita sudah membuktikan kelebihan kita dibanding dengan BN yang dipimpin Najib.
Kalau Pakatan Rakyat sendiri pun gemar bermain teka teki berhubung tarikh sebenar pembubaran DUN, kenapa nak dihairankan bila Najib juga menggunakan pendekatan yang sama. Lagipun, pada pandangan penulis, ini bukan sangat tentang teka teki, ini tentang strategi dan kelebihan yang ada tapi tidak dipunyai oleh pihak musuh.
Semua perlu ingat, ini bukan tentang Najib, ini tentang polisi. Sejak zaman berzaman polisi BN memang begitu, mereka menyimpan tarikh sebenar pilihanraya ini sebagai strategi mereka untuk mengukuhkan kuasa. Pakatan Rakyat tidak perlu terikut-ikut dengan polisi BN dan haruslah berani menunjukkan pembaharuan.
Kalau Najib ada kelebihan di peringkat persekutuan, kita ada kelebihan sama di peringkat negeri yang kita kuasai. Cuma yang perlu dibuktikan kepada rakyat sekarang ialah, kita tidak menyalahgunakan kelebihan tersebut dan berani mengumumkan tarikh sebenar pembubaran DUN kepada rakyat.
Kita buat dulu, kemudian baru minta orang lain untuk ikut, baru betul.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment